KOTA KINABALU: Cubaan memotong dan mencuri kabal talian 33kV milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik di pusat pentadbiran kerajaan negeri Menara Kinabalu, sejak beberapa hari lalu.
Malah perbuatan itu, turut menyebabkan beberapa kawasan lain yang terdiri daripada perumahan dan premis komersial berdekatan juga terjejas.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Idris Mohd Noor berkata, pihaknya menempatkan enam buah janakuasa mudah ahli di kawasan Menara Kinabalu untuk menampung keperluan bekalan elektrik ke bangunan berkenaan.
Katanya, langkah itu diambil berikutan berlaku gangguan bekalan ke bangunan itu yang disebabkan oleh kerosakan kabel milik SESB.

“Hasil siasatan oleh pasukan teknikal SESB mendapati kerosakan ke atas talian 33kV itu disebabkan cubaan memotong dan mencuri kabel berkenaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Terdapat kesan potongan dan terbakar yang bertujuan untuk mencuri kabel milik SESB dan kejadian ini telah menjejaskan bekalan elektrik ke beberapa kawasan di Alam Mesra, Likas dan Menara Kinabalu.
“Kerja-kerja pemulihan bekalan sudah dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, SESB berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada hari yang sama.
Bagaimanapun katanya, bekalan ke Menara Kinabalu masih terjejas apabila berlaku kerosakan kabal sekali lagi pada lewat malam Selasa.
“Kerosakan kedua ini disyaki disebabkan kerja-kerja penimbusan tanah di laluan utama kabel bawah tanah. Kerja-kerja pemulihan bekalan sedang dilaksanakan,” katanya. – Info X