SEMPORNA: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia manakala seorang lagi wanita tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan deretan kedai, di tepi stesen bas pekan Semporna, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa lelaki yang merupakan warga asing berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala wanita terbabit yang berusia 25 tahun dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 9.10 pagi.
“Pihak kami menerima maklumat dari orang awam mengatakan telah menemui seorang lelaki berusia 40 tahun, bukan warga tempatan yang memiliki dokumen pengenalan diri Imm13 dan seorang wanita tempatan berusia 25 tahun tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan yang diparkir di hadapan deretan kedai, di tepi stesen bas pekan Semporna.

“Pihak perubatan Hospital Semporna mengesahkan mangsa lelaki telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa wanita telah dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan dan dimaklumkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan berkata, keluarga kedua-dua mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian terbabit manakala punca kematian masih belum dapat dipastikan sehingga proses bedah siasat dijalankan.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya lagi. – Info X