PENAMPANG: Dua minggu menjelang Aidilfitri, empat keluarga sehelai sepinggang selepas dua rumah mereka di Kampung Baru, Jalan Bundusan, di sini, musnah terbakar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, seorang wanita cedera ringan namun Namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Seorang mangsa, Ariffin Reduaan Rudi, 21, berkata, kejadian itu menyebabkan rumah yang dihuni bersama abang, sepupunya dan bapa saudaranya musnah terbakar.

Katanya, ketika kejadian dia sedang bekerja dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi keluarganya.
“Rumah dua tingkat itu didiami saya bersama abang dan sepupu serta bapa saudara masing-masing bersama keluarga.
“Semuanya musnah terbakar. Hanya tinggal seluar kerja yang sedang saya pakai,” katanya sayu.
Menurutnya, Aidilfitri tahun ini mereka sekeluarga akan pulang ke kampung halaman di Kota Belud.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.33 malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Lintas dan Kota Kinabalu bersama enam jentera digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, operasi pemadaman dijalankan dan kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.
“Terdapat seorang mangsa wanita mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi dilaporkan terkawal pada 10.32 malam dan operasi pemadaman masih lagi dijalankan.
“Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X