KOTA KINABALU: Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF), Felix Agus dan Lotter P Edwin Edin bersama penyanyi yang sedang meningkat naik, Maldini Sidney, kini bakal bernaung di bawah WonderWave Records.
Dalam satu kenyataan semalam, WonderWave Records memaklumkan mereka telah menghantar surat setuju terima dan kontrak perjanjian kepada tiga artis dari Sabah berkenaan sebagai artis rakaman naungan syarikat itu.
Pengurus Artis WonderWave Records, Adam Castelo berkata, ‘surat lamaran’ itu telah dihantar kepada Felix, Lotter dan The Divine Masters serta Maldini pada awal bulan ini.
Katanya, satu sesi menandatangan perjanjian dan pelancaran projek single baharu juga sedang dirancang dan sebagai permulaan, WonderWave Records bertindak sebagai artist management bagi ketiga-tiga penyanyi ini sementara menunggu single baharu mereka dihasilkan.
“Felix, Lotter & The Divine Masters dan Maldini dipilih setelah melihat kepada potensi besar artis-artis ini yang boleh diketengahkan kembali ke pasaran muzik Malaysia.
“Sebagai contoh, Felix pernah popular dengan lagu berjudul Warkah Berlagu Pilu dan Aku Pencintamu dan beliau ketika ini masih aktif tetapi lebih fokus di Sabah dan aktif sebagai youtuber serta di TikTok.
“Kehadiran semula Felix di arena muzik perdana pastinya sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh peminat terutama sekali mereka yang pernah mengikuti Felix sebagai fans ketika di pentas AF musim ke-3 dan muncul naib juara,” katanya.
Mengenai Lotter pula, Adam berkata, anak jati Membakut itu merupakan naib juara AF musim ke-4 dan pernah mewarnai industri muzik serta pernah muncul dengan dua buah album bersama band adik-beradik beliau iaitu The Divine Masters.
Katanya, lagu-lagu The Divine Masters yang pernah popular pada waktu itu ialah Disampingmu, Merpati Putih dan Keluhanku.
“Lagu Disampingmu pernah menjuarai carta radio dan pernah tercalon di dalam program TV Muzik-Muzik di TV3.
“Terbaharu, selepas hampir 10 tahun menyepi, The Divine Masters telah melancarkan single baharu berjudul Kemarin Kecewakanmu pada 30 Mac lalu.
“Bersama WonderWave Records, sebanyak lima buah lagu lagi akan dihasilkan dan akan diabadikan di dalam sebuah album penuh sebagai ’10 Tahun The Divine Masters Kembali’ dan dijangka dilancarkan pada pernghujung tahun ini.
“Sebuah showcase juga akan diadakan bertempat di Kuala Lumpur selain beberapa tempat sebagai siri jelajah termasuk di Singapura, showcase ini juga akan menggandingkan Felix dan Maldini,” katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata, pendatang baharu Maldini Sidney merupakan bekas penyampai radio VOK fm Sabah.
Katanya, Maldini kini merupakan seorang selebriti dan pengacara TV di saluran TV Okey.
“Nama Maldini meningkat naik dengan genre lagu yang sedikit berbeza iaitu pop-dance dan ternyata mendapat sambutan dikalangan anak-anak muda di Sabah.
“Lagu Maldini yang telah membawa namanya dikenali di pasaran muzik Sabah ialah lagu berjudul Hey Sumandak dan beliau juga pernah bergandingan dengan Hezron (Atmosfera) menerusi lagu Goyang Bahu.
“Semasa tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang lalu, Maldini juga muncul dengan lagu berjudul Untuk Kita X RTM,” katanya.
Adam berkata, dalam perkembangan sama, selain persembahan pentas ketika ini, Felix, Lotter dan Maldini sedang sibuk bergandingan dengan rakaman sebuah lagu yang akan dilancarkan sempena Pesta Kaamatan 2023.

“Wonderwave Records sebagai label akan turut melancarkan muzik video lagu kaamatan ini yang turut menampilkan beberapa penaja dan jenama yang telah memberikan sokongan.
“Pelancaran lagu dan muzik video dijangka akan diadakan pada awal Mei depan,” katanya lagi. – Info X