Search

Tiket makan malam United Malaysia laris, siapa cepat dia dapat

April 24, 2023

admin



KOTA KINABALU: Tiket untuk menyertai makan malam tahunan anjuran kelab rasmi penyokong Manchester United di negara ini ataupun United Malaysia kini telah mula dijual.

Bagaimanapun, ahli United Malaysia atau pun penyokong kelab Liga Perdana Inggeris itu dinasihatkan supaya membeli tiket lebih awal kerana penjualannya kini menerima sambutan hangat.

Difahamkan juga, sejak ianya mula dijual beberapa hari lalu, hampir 70 peratus tiket telah terjual.

Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam berkata, sambutan menggalakkan itu kemungkinan disebabkan para ahli atau penyokong begitu teruja untuk menghadiri majlis terbesar dianjurkan kelab penyokong berkenaan di Malaysia.

Katanya, seramai 1,200 orang dijangka menghadiri majlis makan malam yang bakal berlangsung di Hakka Grand Ballroom, di sini, pada 9 Jun depan.

“Ini (majlis makan malam) pastinya ‘gempak’ kerana makan malam United Malaysia ini kembali diadakan selepas empat tahun berehat.

“Jadi, saya menggesa ahli kami untuk membeli tiket mereka secepat mungkin bagi mengelakkan kekecewaan kerana ianya begitu laris terjual,” katanya.

Batholomew berkata, pelbagai program menarik disenaraikan pada majlis makan malam itu nanti.

“Salah satu acara yang ditunggu-tunggu pastinya cabutan tiket bertuah yang mana pemenangnya akan diterbangkan ke Old Trafford secara percuma untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi,” katanya.

Tambah beliau, pihak penganjur kini masih mempertimbangkan sama ada akan membawa jemputan khas atau menghantar lebih ramai orang ke Manchester.

“Ketika kita menganjurkan makan malam pada 2019, bekas pertahanan United, Ronny Jonsen merupakan tetamu VIP jadi kali ini kita akan tengok macam mana nanti.

“Pihak penganjur juga mempertimbangkan untuk menghantar lebih ramai orang ke Theatre of Dreams tapi ianya juga masih belum diputuskan,” katanya.

Tiket-tiket makan malam itu kini boleh dibeli dengan harga RM100, RM150 dan RM200.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan tiket tiket berkenaan boleh menghubungi Darrell Ho di nombor 0168311062 atau Daniel Liew di nombor 0168037719. – Info X