Search

Penggambaraan Zhejiang TV China mampu jadikan Sabah lebih terkenal – Menteri

April 25, 2023

admin

KOTA  KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pemilihan Sabah sebagai destinasi penggambaran oleh Zhejiang TV China mampu menjadikan negeri ini lebih terkenal di peringkat antarabangsa.

Katanya, lokasi pertama untuk penggambaran itu adalah di Restoran Masakan Sedap di Hiltop, Luyang.

“Para selebriti akan menginap seketika di Shangri-La Tanjung Aru, kemudian meneruskan jadual penggambaran di Pulau Manukan, seterusnya bergerak ke Shangri-La Rasa Ria, Tuaran.

“Mereka juga akan berkunjung ke Perkampungan Kebudayaan Mari Mari Inanam, Cabana Retreat Resort dan 101 Firefly Eco Park di Kampung Kawa-Kawa.

“Para selebriti akan pulang ke negara masing-masing pada Rabu ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, seramai tujuh selebriti dari Zhejiang TV China mengadakan penggambaran sebuah rancangan realiti yang dikenali ‘Star Chasers’ di negara mereka.

Katanya, sejumlah 180 kakitangan penggambaran yang hadir termasuk para selebriti seperti Raymond Lam, Wu Chi-Lung, Ding Zhou Jie, Chen Li-Nung, Cai Wen Jing,  Zhou Jie Qiong serta Ah-Niu (artis Malaysia).

“Mereka tiba di sini pada Ahad lalu dan dijadualkan mengadakan penggambaran itu pada Isnin dan Selasa. 

“Saya gembira Sabah dipilih sebagai destinasi penggambaran mereka selepas Melaka dan Pahang,” katanya.

Christina yakin rancangan realiti berkenaan akan menggalakkan lebih ramai pelancong China untuk melawat negeri ini untuk bercuti. – Info X