Search

TLDM, polis musnahkan bom Perang Dunia Kedua di Kota Belud

April 26, 2023

admin

KOTA KINABALU: Pasukan Pemusnah Bom Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan operasi memusnahkan bom Unexploded Ordnance (UXO) yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua di Pulau Mantanani, Kota Belud, Isnin lalu.

Jurucakap TLDM melalui kenyataan semalam, kerja memusnahkan bom lama itu dilakukan oleh pasukan berkenaan yang dianggotai Pasukan Selam bersama Juruteknik Peluru Depot Peluru dan Letupan Timur diketuai oleh Komander Mohammad Nasrul Mat Daut TLDM.

Pasukan Selam TLDM melakukan pemeriksaan di pesisiran pantai Pulau Mantanani, Kota Belud. – Foto TLDM

Katanya, pasukan ini diatur gerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam misi memusnahkan bom itu di perairan berkenaan.

“TLDM sebelum ini menerima permohonan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk memeriksa satu objek yang dipercayai bom lama di pesisiran pantai Pulau Mantanani yang berada 43 batu nautika Timur Laut Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).

“Hasil siasatan dan temubual saksi mendapati objek itu disahkan UXO yang tidak aktif jenis Semi Armour Piercing Bomb, 500lbs, AN-M58 buatan Amerika Syarikat yang digunakan ketika zaman Perang Dunia Kedua oleh pasukan Pemusnah Bom TLDM,” katanya.

Menurutnya, bom berkenaan kemudian dibawa ke daratan dan dimusnahkan oleh pasukan pada sebelah petang dengan selamat. – Info X