KOTA KINABALU: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Seri Safar Untong menasihatkan rakyat di negeri ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak disambar petir atau kilat.
Katanya, peringatan itu dikeluarkan berikutan fenomena petir atau kilat yang kerap berlaku di Sabah kebelakangan ini hingga menyebabkan insiden disambar kilat.
“Fenomena petir atau kilat yang berlaku di beberapa tempat ketika ini yang menghasilkan sambaran petir atau kilat boleh mengenai manusia sekiranya berada di kawasan terbuka dan mengakibatkan kecederaan serius serta membawa maut.
“Orang awam dinasihatkan supaya menjauhi kawasan lapang seperti padang bola dan kawasan lapang lain sekiranya berlaku petir ataupun kilat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Safar yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merujuk insiden dua remaja berumur 13 tahun disambar petir yang mengakibatkan seorang daripadanya maut di padang pekan Papar, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.55 petang itu, seorang remaja orang kurang upaya (OKU) maut, manakala rakannya kritikal selepas terkena sambaran petir ketika bermain bola sepak.
Mangsa, Muhammad Zulqilfle Redzwan, 13, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian. – Info X