RANAU: Seorang lelaki meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika menuruni Gunung Kinabalu bersama isterinya, di sini, awal pagi semalam.
Mangsa Alexander Kueh Chek Boo, 46, berasal dari Kuching, Sarawak, disahkan meninggal oleh pasukan perubatan sejurus tiba di Timpohon Gate selepas sebelum itu dia tidak sedarkan diri ketika berada di kilometer 2.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa bersama isterinya mula menaiki gunung berkenaan pada Isnin dan tiba di stesen Panarlaban kira-kira jam 5 petang.

Bagaimanapun, katanya, pasangan terbabit terpaksa turun semula kira-kira jam 10 malam selepas isteri mangsa mengadu sesak nafas.
Beliau berkata, mangsa turut mengikuti pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) yang mengusung isterinya untuk dibawa turun ke Timpohon Gate.
“Menurut seorang malim gunung yang berada di belakang pasangan suami isteri terbabit sepanjang perjalanan, mangsa telah mengadu sesak nafas ketika mereka sampai di kilometer 2 dan dia (mangsa) kemudian terduduk lalu tidak sedarkan diri.
“Malim gunung seterusnya menghubungi pihak MOSAR yang berada di kilometer 5 untuk mendapatkan bantuan namun usaha pihak bomba untuk menyedarkan mangsa dengan teknik CPR (bantuan pernafasan kecemasan) tidak berjaya menyebabkan mangsa segera diusung turun ke Timpohon Gate.
“Setibanya di Timpohon Gate, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya kepada Info X, hari ini.
Simiun berkata, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk proses bedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – Info X