KOTA KINABALU: Dua produk mi segera iaitu Mi Kari Putih Penang Ah Lai dari Malaysia dan mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial diarah untuk menarik balik penjualannya dari pasaran.
Ini susulan Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan mendapati terdapat ethylene oxide dalam kedua-dua produk mi segera berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi kenyataan media, hari ini berkata, ethylene oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.
Katanya, ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.
“Bagi sampel Mi Kari Putih Penang Ah Lai, persampelan di Malaysia mendapati ianya mematuhi perundangan.
“Meskipun begitu, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk tarik balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai bagi batch berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada,” katanya.
Jelasnya lagi, berdasarkan semakan data dari Food Safety Information System Of Malaysia, KKM juga mengesahkan bahawa terdapat kemasukan produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran negara Indonesia ke negara ini.
“Dalam hal ini, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran.
“Untuk makluman juga, lanjutan daripada isu penarikan semula produk Mi Sedap keluaran Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada 2022, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan yang berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun yang diimport.
“Hasil pemantauan dari 2022 hingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk Mi Sedaap mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan sudah diambil.
“Tindakan yang diambil termasuk kompaun, tindakan mahkamah dan penarikan balik produk dari pasaran,” katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata, pihak kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
“Pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terbabit. Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu berkaitan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
“Selain itu, pengguna boleh menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. – Info X