Search

Gagasan Rakyat Tambunan sokong wujudkan BCAA

April 27, 2023

admin

TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Tambunan menyambut baik gesaan mewujudkan Autoriti Penerbangan Awam Borneo atau Borneon Civil Aviation Authority (BCAA) bagi menjaga industri penerbangan di Sabah dan Sarawak.

Ketua Penaja Gagasan Rakyat Tambunan Datuk Victor P Paut berkata, sudah tiba masanya BCAA diwujudkan bagi mengatasi masalah yang timbul, khususnya tambang tiket penerbangan mahal yang dihadapi penumpang di kedua-dua negeri itu.

“Masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian konkrit daripada pihak berkaitan.

“Justeru, pewujudan BCAA ini bertepatan untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada penumpang,” katanya.

Beliau mengulas gesaan pewujudan BCAA oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada Isnin.

Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, pewujudan BCAA adalah untuk menjaga kepentingan Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia yang pergi dan balik ke Negeri-negeri Borneo dengan lebih baik.

Beliau berkata, dengan pengetahuan yang lebih baik tentang keadaan tempatan dan keperluan Sabah dan Sarawak, BCAA berupaya membina dorongan yang diperlukan untuk memudahkan industri penerbangan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Dalam jangka panjang, BCAA boleh memanfaatkan bukan sahaja Sabah tetapi juga industri penerbangan negara secara keseluruhannya,” katanya .

Gesaan menubuhkan BCAA itu menyusul selepas wujud perbalahan berterusan mengenai tambang tinggi penerbangan ke Sabah dan Sarawak ketika Aidilfitri.

“Ia juga mendedahkan masalah sistemik yang telah berpuluh tahun mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak dalam perjalanan udara, dan beban yang ditanggung oleh mereka selama bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan udara sangat penting terutamanya kepada Sabah dan Sarawak kerana pelancongan antarabangsa adalah sektor utama ekonomi kedua-dua negeri.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu adalah lapangan terbang kedua terbesar dan kedua tersibuk di Malaysia, dan merupakan hab serantau bagi banyak syarikat penerbangan dengan penerbangan terus antarabangsa.

“Masa untuk menyediakan BCAA juga tepat sekarang kerana Sarawak juga ingin menubuhkan syarikat penerbangan butik,” kata Jeffrey. – Info X