Search

2 lelaki ditahan selepas samun wanita

April 28, 2023

admin

TAWAU: Dua lelaki yang melakukan samun ke atas seorang wanita yang sedang menunggu kenderaan untuk ke tempat kerja di Jalan Apas, awal pagi pada 26 April lalu, ditahan polis.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 26 dan 32 tahun ditahan selepas mangsa mengecam nombor pendaftaran dan jenis motosikal digunakan suspek sebelum membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, bertindak atas laporan dan maklumat sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah menjalankan siasatan.

Katanya, hasil maklumat berjaya mengesan suspek dan membuat tangkapan kedua-dua suspek terbabit, pada hari yang sama.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas suspek, polis merampas sebuah beg, enam biji telefon bimbit pelbagai jenama, beberapa senjata tajam dan motosikal yang digunakan serta topi keledar.

“Pemeriksaan lanjut ke atas nombor casis dan nombor enjin motosikal yang dirampas mendapati motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan hilang yang pernah dilaporkan kepada pihak polis sebelum ini,” katanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 395,” katanya. – Info X