KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, semangat juang tinggi dan tidak mudah mengalah ditunjukkan anak buahnya membolehkan mereka mengekalkan kemenangan di Stadium Likas dengan keputusan 2-1 ketika menentang Selangor FC, malam tadi.
Beliau akui, para pemain berdepan saingan sengit menentang Selangor selaku pasukan yang berada di tangga kedua carta Liga Super, namun kesungguhan pemain akhirnya berjaya memberi kemenangan kepada pasukan.
Katanya, walaupun ada kesilapan yang menyebabkan gawang Sabah dibolosi pada awal babak kedua, secara keseluruhan, anak buahnya melakukan tugas yang baik mengawal permainan hingga berjaya mencipta gol kedua yang menyebabkan Selangor berputih mata.
“Ia satu perlawanan yang cukup sengit kerana kita tahu Selangor sebuah pasukan yang cukup baik. Namun, kita menyaingi mereka terutama pada separuh masa pertama apabila kita mengawal perlawanan dengan begitu baik.
“Tapi, dengan kesilapan kita sendiri, kita terpaksa berusaha lebih gigih pada separuh masa kedua dan pemain menunjukkan semangat juang yang begitu tinggi yang mana ini penting untuk kita mengekalkan kemenangan di Likas,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Dalam aksi malam tadi, Sabah mendahului permainan selepas mendapat gol pertama menerusi sepakan penalti Saddil Ramdani pada minit ke-24, namun berjaya disamakan Selangor pada minit ke-51 menerusi cubaan Mohd Faisal Abdul Halim.
Sabah bagaimanapun berjaya menambah jaringan pada minit ke-64 melalui sepakan percuma yang disudahkan Baddrol Bakhtiar, sekali gus memberi kemenangan dengan kelebihan 2-1 kepada skuad Sang Badak.
Kim Swee berkata, momentum kemenangan Sabah FC dan semangat pemain akan terus dikekalkan sama ada ketika bermain di laman sendiri atau di gelanggang lawan.
“Kita akan bermain di Likas lagi selepas ini dan kita akan kekalkan momentum ini, tapi kita tidak mengambil mudah pihak lawan,” katanya.
Sabah dijadual bertemu Terengganu FC dan Perak FC di Stadium Likas, masing-masing pada 19 Mei dan 23 Mei depan, sebelum bertandang ke Stadium Darul Aman berdepan Kedah Darul Aman FC pada 2 Jun.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, mengakui perlawanan menentang Sabah malam tadi sesuatu yang sukar bagi pasukannya kerana terpaksa berdepan pemain skuad Sang Badak yang agresif di laman mereka sendiri.
“Kita tahu Sabah begitu agresif di laman sendiri dan kita tidak bermain seperti yang biasa kita main. Kita juga tidak mengekalkan momentum yang kita ada dan kita nampak Sabah lebih dahagakan kemenangan,” katanya.
Bagaimanapun, Cheng Hoe berkata anak buahnya masih bermain dengan baik sepanjang perlawanan, kecuali ada sedikit kesilapan yang menyebabkan Sabah mendapat kelebihan dan berjaya mencipta gol.
Katanya, kehilangan fokus pemainnya tidak sepatutnya berlaku terutama apabila bertandang ke Stadium Likas yang memang diketahui menjadi kubu kuat Sabah.
“Kita perlu bangkit semula manfaatkan rehat sepanjang Sukan SEA (5 Mei hingga 17 Mei) nanti untuk lebih bersedia dalam perlawanan yang akan datang. Kita akan atasi kelemahan kita sepanjang perlawanan kali ini,” katanya. – Info X