KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee menyeru Kerajaan Persekutuan supaya menjelaskan kenapa laporan siasatan nahas pesawat Nomad dalam Tragedi Double Six pada 6 Jun 1976 diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Yong yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, penjelasan itu perlu memandangkan kerajaan yang mahu laporan itu dianggap sebagai sulit seperti dinyatakan dalam laporan dikeluarkan pihak Australia.
“Laporan Australia dalam Folio 13 bertarikh 3 Januari 1978 (Australia) mendedahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia meminta laporan itu dianggap sebagai sulit.
“Oleh itu, tanggungjawab kini terletak kepada kerajaan Malaysia untuk menjelaskan mengapa Malaysia meminta laporan itu diklasifikasikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung laporan siasatan yang dikeluarkan Australia.
Yong berkata, laporan Australia mengandungi dua bahagian, masing-masing oleh Jabatan Pengangkutan Australia dan Government Aircraft Factories (GAF) iaitu syarikat komersial di bawah Jabatan Perindustrian dan Perdagangan Australia yang mengeluarkan pesawat Nomad dibeli Sabah Air pada 1975.
Katanya, apabila membaca laporan GAF, tumpuan adalah terhadap aspek pesawat, manakala laporan Jabatan Pengangkutan Australia mengandungi komunikasi dalaman seperti telegram, memo dan beberapa nota bertulis tangan.
Sebaliknya, beliau berkata laporan Malaysia yang didedahkan sebelum ini kebanyakannya mengandungi penemuan dan kesimpulan penyiasat, manakala tiada komunikasi dalaman di kalangan pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah atau Sabah Air.
“Bagaimanapun, kedua-dua laporan Malaysia dan Australia juga tidak menyebut detik-detik terakhir sebelum pesawat Nomad 9M-ATZ yang malang itu berlepas dari Labuan,” katanya.
Yong mendakwa, Menteri Kewangan pada masa itu, Tengku Razaleigh Hamzah pernah menyebut secara terbuka pada April 2010 mengenai beliau dan dua orang lagi yang turun dari pesawat Nomad terbabit dan menaiki pesawat Nomad lain (9M-AUA) yang menuju ke Kudat sebelum ke Kota Kinabalu.
Katanya, laporan Malaysia menyebut beberapa bagasi penumpang dalam pesawat Nomad 9M-AUA yang berlepas ke Kudat ditemui dalam serpihan pesawat Nomad 9M-ATZ yang terhempas di perairan Kampung Sembulan, di sini.
“Fakta ini sendiri memerlukan siasatan terhadap apa yang berlaku di Lapangan Terbang Labuan. Sebagai contoh, siapa yang memuatkan bagasi bukan penumpang ke pesawat Nomad 9M-ATZ?
“Laporan Malaysia juga menyatakan bahawa pesawat Nomad 9M-ATZ kekal di Labuan semalaman dan diterbangkan oleh juruterbang Sabah Air yang lain pada hari sebelumnya. Adakah juruterbang ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa siasatan?,” katanya.
Selain itu, Yong juga membangkitkan mengenai laporan pihak Malaysia yang mengatakan bahawa tiada lebihan muatan dalam pesawat malang itu kerana berat berlepas yang dikira ialah 8065 paun (lbs), iaitu di bawah berat berlepas maksimum 8500 lbs.
“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia perlu menjelaskan mengapa, dalam jawapannya kepada Parlimen pada masa lalu, bahawa muatan berlebihan pesawat itu dikatakan menjadi punca nahas udara,” katanya.
Beliau berkata, terdapat juga perbezaan laporan Malaysia berbanding laporan Australia berhubung berat kawasan bagasi belakang, iaitu masing-masing dicatat 325 lbs dan 415 lbs yang memerlukan penjelasan lanjut.
Sementara itu, Yong mengesahkan kerajaan Australia mendedahkan sepenuhnya laporan yang disimpan pihaknya selama ini yang mengandungi 110 fail, berdasarkan apa yang pernah dilihatnya ketika ditunjukkan secara dalaman oleh Arkib Australia, kira-kira 10 tahun lalu.
Dalam hal berkaitan, Yong turut meminta agar kerajaan mengeluarkan rekod, termasuk kenyataan saksi dan keterangan serta inkues yang dijalankan di Sabah oleh Majistret kehakiman atas kematian semua individu dalam Tragedi Double Six beberapa bulan selepas nahas udara itu berlaku. – Info X