KOTA KINABALU: Pemilik sebuah kedai bakeri, di sini, menjelaskan, notis yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta di hadapan premis mereka bukanlah berniat untuk mengugut sesiapa.
Bagaimanapun, mereka akui terdapat kesalahan ayat pada notis berkenaan dan memohon maaf kepada orang ramai yang terkesan dengan perkara itu.
“Selepas berjumpa dengan pekerja saya, tujuan notis itu diletakkan adalah bagi mengelakkan berlakunya kemalangan serta kerosakan terhadap kenderaan sekiranya diletakkan di kawasan berkenaan.
“Ini kerana papan tanda kedai baru dipasang pada hari itu dan notis itu diletakkan bagi menghalang kenderaan diletakkan di bawah papan tanda terbabit,” kata pemilik premis Borneo Bun itu dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau juga berterima kasih dengan keprihatinan orang awam berkenaan perkara itu dan sebagai permohonan maaf kedai berkenaan menawarkan diskaun 20 peratus terhadap semua item sehingga 9 Mei depan.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan kesilapan ini dan menjamin tidak terlintas sebarang niat untuk menyebabkan sebarang kesulitan atau kekecewaan kepada orang awam.
“Kami juga akan lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang notis bagi memastikan tidak ada kekeliruan atau salah faham selepas ini,” katanya.
Terdahulu, perkara berkenaan notis yang diletakkan di tempat letak kenderaan itu ditularkan di media sosial.
Notis berkenaan yang menyatakan ‘tolong jangan alihkan kerusi ini kalau tidak mahu kereta anda hancur!!’ membawa kemarahan kepada netizen dan mahu agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
Pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) peka dengan perkara ini dan beberapa pegawai penguat kuasa ditugaskan ke lokasi untuk mengambil tindakan sebelum perkara diselesaikan dengan baik. – Info X