KOTA KINABALU: Seramai kira-kira 2,000 orang membanjiri Riverson, The Walk, di sini, sempena Hari Jazz Antarabangsa Sabah yang berlangsung pada 30 April lalu.
Edisi ketiga program berkenaan dianjurkan oleh Human Development and Empowerment Association (SAHDEA) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Hari Jazz yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang itu diwarnai dengan penampilan enam kumpulan Jazz terkemuka Malaysia iaitu Blue Note Band yang diketuai penyanyi Latin Jazz Malaysia, Joan Jim, Monokroms, Angelyca Laura, Jess & The Deaf Katz, The Aphrodites dan neojuice.
Sambutan yang turut mendapat kerjasama Urban Tamu berkenaan juga telah disenaraikan secara rasmi dalam Sambutan Hari Jazz Antarabangsa UNESCO, menjadikannya ia satu-satunya acara Hari Jazz rasmi di Borneo.
“Kami mahu sambutan tahun ini lebih besar sedikit berbanding tahun lepas, dan dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sabah tahun ini, kami dapat menjemput enam penghibur jazz berkualiti dari seluruh Sabah untuk membuat persembahan di atas pentas,” kata Naib Presiden SAHDEA Jessel Yansalang.
Hari Jazz itu juga diadakan sempena Hari Jazz UNESCO yang disambut di seluruh dunia.
Salah seorang penghibur, Joel Moriga berkata, ianya sangat menyegarkan apabila melihat sambuta sedemikian diadakan di Sabah, lebih-lebih lagi majoriti daripada mereka yang membuat persembahan adalah orang Sabah sendiri.
“Kami mungkin melihat kira-kira 2,000 orang hujung minggu lalu dan selepas melihat sambutan positif daripada acara itu, kami juga ingin meneruskan program pembangunan artis tempatan tahun ini kerana kami melihat potensi besar dalam meningkatkan profil kumpulan Jazz kami sendiri yang berpangkalan di Sabah,” kata seorang lagi penghibur, Jessel.
Program Pembangunan Artis dan Belia Jazz Sabah mula diperkenalkan oleh SAHDEA pada 2019.
Mereka juga telah menghantar empat kumpulan Jazz yang berpangkalan di Sabah ke empat lokasi di seluruh wilayah (Labuan, Bangkok, Kuching dan Singapura).
SAHDEA turut membantu kumpulan Jazz yang berpangkalan di Sabah, Blue Note Band, untuk membuat persembahan di Festival Jazz Borneo pada akhir tahun ini serta dua lagi kumpulan Jazz ke Bangkok dan Singapura. – Info X