KOTA KINABALU: Maktab Rendah Sains Mara (mrsm) Kota Kinabalu, hari ini, secara rasmi ditukarkan nama kepada MRSM Tan Sri Musa Aman.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis di MRSM berkenaan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pertukaran nama itu adalah bagi mengenang jasa bekas ketua menteri Sabah itu.
Katanya, selain MRSM Kota Kinabalu yang ditukarkan nama ke MRSM Tan Sri Musa Aman, MRSM Ranau dan MRSM Semporna juga akan turut diberi nama baharu dalam lawatan kerja beliau yang akan datang.
Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan Mara (IPMA) pada tahun ini.
Katanya, sebanyak RM25 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan berkenaan disalurkan kepada MRSM manakala RM17 juta disalurkan kepada Institut Kemahiran Mara (IKM) serta Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) manakala RM8 juta diperuntukkan kepada Kolej Mara (KM) dan Kolej Profesional Mara (KPM).
“Peruntukan tersebut diluluskan di bawah peruntukan pembangunan melalui Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Sebanyak RM2.347 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu akan diberikan kepada IPMA Sabah termasuk MRSM Kota Kinabalu yang akan menerima RM250,000 daripada jumlah keseluruhan peruntukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Info X