Search

Pemandu maut, penumpang cedera lori terbabas jatuh bukit

May 8, 2023

admin



TENOM: Seorang pemandu maut manakala rakannya cedera selepas lori dinaiki mereka terbabas lalu merempuh penghadang jalan sebelum terjatuh ke bawah bukit di Jalan Tenom – Kemabong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pemandu lelaki berasal dari Marangg, Terengganu berusia lingkungan 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera di seluruh badannya.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati lori dari arah Jalan Bakuku menuju ke arah Jalan Tomani.

“Sebaik tiba di lokasi di satu selekoh menuruni bukit dipercayai lori hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan melanggar penghadang jalan sebelum jatuh ke bawah bukit.

“Pemandu dan penumpang telah tercampak keluar dari lori dan mengalami parah di seluruh badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kemalangan.

“Penumpang berusia lingkungan 30 tahun dihantar ke Hospital Tenom untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom turut hadir di lokasi kemalangan bagi operasi mengangkat mangsa. – Info X