SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan dalam Op Taring Gelora di kawasan perairan dekat Pasar Umum Sandakan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, bot ronda PPM Sandakan yang sedang membuat rondaan mengesan kelibat individu yang mencurigakan sedang memunggah sesuatu ke dalam bot yang berikat di Jeti Pasar Umum.
Hasil pemeriksaan ke atas individu terbabit, mendapati dia adalah juragan bot berkenaan.

Pemeriksaan dalam bot membawa penemuan 11 tong minyak berisi 338 liter petrol dan 48 bungkus gula.
Seterusnya juragan tempatan berusia 26 tahun ditahan dan bot serta barangan kawalan yang ditemui dirampas.
Nilai rampasan bot dan barang kawalan itu dianggarkan berjumlah RM60,900.
Sementara itu, operasi yang sama, PPM turut merampas 45 tong isi 1,575 liter petrol yang disembunyikan di atas Jeti Pasar Umum Sandakan.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,400.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan barangan kawalan berkenaan.
Katanya, suspek dan barang-barang kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan untuk tindakan lanjut. – Info X