BELURAN: Mangsa lelaki yang hilang selepas dilaporkan disambar buaya tepi Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, di sini, Selasa lalu, ditemui, pagi tadi.
Difahamkan, mayat yang berada dalam keadaan tidak sempurna tanpa kedua-dua kaki dan tangannya itu ditemui pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung pada 10.30 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pasukan bomba masuk hari ketiga.
Katanya, sebaik operasi dimulakan pada jam 6.45 pagi, mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi awal kejadian.
“Mayat mangsa ditemui keadaan tidak sempurna tanpa kedua-dua kaki dan tangannya.
“Pasukan bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.30 pagi.
Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa Rudi Amiruddin, 28, dilaporkan hilang selepas dipercayai disambar buaya ketika sedang mencuci tangan dan kaki bersama rakannya di sungai berkenaan.
Menurut saksi kejadian, mangsa sempat menjerit meminta tolong namun rakannya tidak sempat untuk membantu. – Info X