Search

Nelayan dilaporkan hilang ditemui lemas

May 12, 2023

admin



SANDAKAN: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Bankawan, di sini, semalam ditemukan lemas di kawasan perairan pulau berkenaan, hari ini.

Mayat Asmin Lasait, 45, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan orang awam pada 10.09 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa dipercayai keluar dari jeti pada 5 pagi semalam menuju ke perairan Pulau Bankawan untuk menangkap ikan dan sepatutnya pulang pada hari sama.

Namun pada 1 tengah hari semalam, bot mangsa ditemui oleh penduduk kampung tanpa pengemudi di perairan Pulau Bankawan.

Pemeriksaan di atas bot mendapati terdapat barang peribadi mangsa dan pengesahan ke atas adik mangsa juga dibuat.

Pencarian mangsa telah dijalankan oleh orang kampung namun mangsa masih gagal ditemui. Dipercayai mangsa mempunyai sejarah penyakit asma.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.36 pagi hari ini.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke tempat kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), dilaporkan bahawa msngsa telah ditemui di kawasan perairan Pulau Bankawan oleh orang awam bersama pasukan SAR.

“Jarak mangsa ditemui satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian di bawah ke PKTK dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada 11.40 pagi,” katanya. – Info X