Search

PPM gagalkan cubaan seludup rokok

May 14, 2023

admin

TAWAU: Sekumpulan lelaki yang sedang leka memunggah rokok seludup di kawasan kampung Ice Box, di sini, bertempiaran lari selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, menerusi Op Taring Gelora Khas/Op Kontraban, semalam.

Bagaimanapun, dua lelaki daripada kumpulan terbabit berjaya ditahan dan merampas 108,000 batang rokok seludup yang disembunyikan di dalam van jenis Toyota Hiace.

Sumber berkata, bertindak atas maklumat pada 10.15 malam, sepasukan pegawai dan anggota PPM Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Semporna membuat rondaan dan pemantauan di kawasan Kampung berkenaan.

Rokok tanpa cukai yang dirampas menerusi Op Taring Gelora Khas/Op Kontraban di kawasan Kampung Ice Box, Tawau. – Foto PPM

“Ketika pemantauan dijalankan, terkesan beberapa individu dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah beberapa plastik dan kotak dari kawasan perkampungan ke kenderaan.

“Menyedari kehadiran Polis Marin, beberapa individu melarikan diri ke kawasan kampung namun dua lelaki berjaya ditahan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas dua lelaki itu mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan ke atas van di lokasi itu menemui 108,000 batang rokok yang disimpan di dalam kotak dan plastik dipercayai tidak bercukai di bahagian belakang van berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM70,000,” katanya.

Rokok tanpa cukai yang disembunyikan di dalam dirampas PPM. – Foto PPM

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

“Tangkapan dan semua rampasan dibawa ke Pejabat PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X