Search

Aaron-Wooi Yik digandingkan semula selepas Sukan Asia 2026 – Chong Wei

August 29, 2026

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei mengesahkan beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan digandingkan semula selepas tamat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt.

Chong Wei berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan “hati ke hati” antara beliau, barisan kejurulatihan dan pemain berkenaan semalam yang menyaksikan pasangan itu komited untuk meneruskan perjuangan bersama bagi menghadapi kejohanan akan datang, termasuk sasaran ke Sukan Olimpik 2028.

Bagaimanapun, bagi Sukan Asia 2026, Aaron Chia akan menggalas cabaran bersama Tee Kai Wun manakala Wooi Yik tidak berada dalam senarai pemain ke Aichi-Nagoya selepas barisan kejurulatihan memutuskan untuk mencuba strategi scratch pair.

Chong Wei berkata keputusan pemilihan pemain ke Sukan Asia 2026 itu dibuat berdasarkan cadangan jurulatih yang mahukan kondisi dan prestasi terbaik bagi memburu pingat pada temasya empat tahun sekali berkenaan.

“Masa itu jurulatih cakap mahu buat scratch pair kan? Mahu cuba tengok apa gandingan terbaik. Itu nama yang diberikan kepada saya, okey kami hantar sahaja. Kami kena pilih kondisi terbaik, pemain yang terbaik untuk pergi ke Sukan Asia kerana saya sudah cakap temasya ini empat tahun sekali.

“Saya cakap dengan Rexy Mainaky selepas Sukan Asia, mereka (Aaron-Wooi Yik) akan bergandingan semula sehingga 2028. Tapi kamu jangan separuh jalan sahaja, jika ada masalah kita tidak boleh tukar-tukar,” katanya selepas Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Chong Wei ketika mengulas mengenai rasa terkilan pemain yang mendakwa tidak dibawa berbincang mengenai perpecahan sementara itu berkata beliau telah menyelesaikan salah faham berkenaan dalam perjumpaan yang sama.

“Saya beritahu Wooi Yik dan Aaron, baiklah. Kini, kita selesaikan perkara ini. Apa yang kamu mahu sekarang? Apa yang kamu perlukan? Apa yang saya boleh bantu? Sekarang mereka rasa, pada kejohanan dunia mereka akan bergandingan semula. Mungkin mereka cakap okey, kami berdua mahu ke Sukan Olimpik 2028. Okey, kamu mahu orang yang sama untuk pergi, okey,” katanya.

Dalam pada itu, legenda badminton negara itu turut meluahkan isi hatinya mengenai cabaran menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi yang sering berdepan dengan pelbagai kontroversi dan kritikan pedas di media sosial.

Chong Wei mengakui jawatan yang dipikulnya ketika ini bukanlah satu tugas yang mudah, terutama apabila ada pihak yang membandingkan pencapaian peribadinya dengan status pemain-pemain di bawah seliaannya sekarang.

“Ada orang banyak komen, ada marah sama saya, saya boleh terima kerana jika kamu buat apa-apa keputusan pun bukan senang tapi saya terima orang marah saya kerana ada orang cakap juga ‘kamu bukan juara dunia tapi kamu jaga juara dunia’. Ya, bukan senang mahu duduk di tempat ini,” katanya.

Chong Wei berkata segala keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan negara dan BAM, bukannya atas dasar kepentingan peribadi atau rasa tidak suka terhadap mana-mana pemain tertentu.

Beliau turut menitipkan pesanan mendalam kepada para pemain supaya sentiasa mengenang jasa pihak yang telah membantu mereka daripada peringkat awal sehingga berjaya ke tahap sekarang.

“Dulu kamu bukan siapa-siapa, sekarang kamu memiliki sesuatu, siapa bawa kamu? Kamu jangan lupakan siapa bantu kamu. Ini ialah prinsip saya. Saya tahu dulu saya kosong sehingga saya dapat ranking pemain nombor satu dunia dan sehingga saya memperoleh banyak kejuaraan kan? Saya tidak akan lupa siapa yang jaga saya,” katanya.

Chong Wei berkata beliau tidak pernah terfikir untuk meninggalkan BAM sepanjang kariernya sebagai seorang atlet kerana prinsip kesetiaan kepada negara melebihi segala konflik dalaman yang pernah dihadapinya.– BERNAMA