Abdul Fuad terima tugas Komander ESSCOM

November 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Komander ESSCOM, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek secara rasmi memulakan tugas mengetuai pasukan keselamatan itu selepas menerimanya daripada bekas penyandangnya, yang juga Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Victor Sanjos, di sini, pada Khamis.

Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu diadakan di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu.

Abdul Fuad sebelum ini adalah Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, manakala Victor adalah bekas Komander ESSCOM sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah berkuatkuasa 11 November lalu.

Pada majlis itu, Hajiji menyaksikan acara pemakaian pangkat Deputi Komisioner Polis kepada Abdul Fuad oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri
Mohd Yusri Hassan Basri.

Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Panglima Armada Timur, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Ahmad Shafirudin Abu Bakar.

Ahmad Shafirudin adalah Panglima Armada Timur ketujuh yang mengambil alih kepimpinan MPA Timur secara rasmi pada 20 Oktober lalu, menggantikan Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris. – Info X