Search

‘Ada kereta, haiwan ternakan bukan miskin tegar’

April 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggariskan pemilikan kenderaan dan haiwan ternakan sebagai antara 13 indikator tambahan bagi menentukan golongan miskin tegar di negeri ini.

Selebihnya ialah pemilikan rumah, pekerjaan, pemilikan tanah, kemampuan membayar perkhidmatan asas, kecacatan fizikal atau mental, penyakit kritikal, status pendaftaran kelahiran dan tahap pendidikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata 13 indikator itu digariskan kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) sebagai tambahan kepada definisi kemiskinan sedia ada.

“Jadi, secara asasnya, golongan miskin tegar adalah mereka yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan sendiri berdasarkan kepada indikator negeri Sabah itu.

“Indikator itu ialah tidak memiliki rumah sendiri, tiada pemilikan tanah untuk diusahakan, masih menggunakan peralatan tradisional dalam kehidupan seharian serta akses kepada pendidikan,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Alias Sani (WARISAN – Sekong) mengenai langkah kerajaan dalam usaha membawa Sabah keluar daripada kedudukan tercorot negeri miskin di Malaysia.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited menangani isu kemiskinan di negeri ini melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0: 2021 – 2025 du bawah teras M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Perkara ini juga adalah selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dalam menoktahkan miskin tegar di Malaysia.

“Secara prinsipnya, pengukuran kadar kemiskinan yang diguna pakai adalah berdasarkan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk kemiskinan mutlak dan PGK Makanan untuk mengukur kemiskinan tegar,” katanya.

Katanya, bermula tahun ini, pelaksanaan program kemiskinan akan menggunakan PGK 2022 yang menyaksikan peningkatan daripada RM2,537 kepada RM2,742, manakala, PGK Makanan meningkat daripada RM1,179 kepada RM1,218.

Secara keseluruhan, katanya ketika ini hanya 12,555 ketua isi rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang ada di Sabah berdasarkan data terkini pada 31 Mac lalu. – Info X