Search

Adam Shamil gegar TikTok Awards, atasi Khairul Aming dan Sofyank dalam undian

October 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Siapa sangka anak jati Penampang, yang terkenal dengan loghat Sabah pekat dan gelagat lucunya kini mendahului undian kategori paling berprestij TikTok Awards Southeast Asia 2026, mengatasi dua nama besar negara, Khairul Aming dan Sofyank.

Personaliti media sosial, Adam Shamil, 27, mencuri perhatian apabila berjaya menempatkan diri sebagai satu-satunya wakil Borneo dalam kelompok tiga finalis kategori utama Creator of the Year.

Lebih membanggakan, Adam dilaporkan mendahului carta pengundian dengan lebih 968,000 undi, jauh meninggalkan ikon kulinari Khairul Aming yang meraih 381,000 undi, manakala pakar kesan visual (VFX), Sofyank, memperoleh 50,000 undi.

Menerusi perkongsian di media sosial, Adam mengakui tidak pernah membayangkan dirinya mampu berdiri sebaris dengan dua pencipta kandungan terkenal negara dalam kategori sebesar itu.

“Sebagai anak Borneo, saya tidak pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti saya dapat berdiri sebaris dengan pencipta kandungan terkenal negara dalam kategori sebesar ini.

“Kami di Sabah dan Sarawak kadangkala merasakan bahawa peluang untuk mendapat perhatian di peringkat nasional agak jauh daripada kami.

“Namun, saya percaya tempat asal kita tidak seharusnya mengehadkan sejauh mana kita mampu melangkah,” katanya.

Menurut Adam, pencalonan itu bukan sekadar memburu trofi peribadi, sebaliknya menjadi peluang untuk mengangkat nama Sabah, Sarawak dan seluruh Borneo ke pentas lebih besar.

“Kemenangan ini bukan untuk saya seorang. Jika saya menang, bermakna Sabah menang, Sarawak menang dan seluruh Borneo menang!” katanya.

Sejak pengundian dibuka pada 12 Oktober lalu, Adam menerima sokongan luar biasa daripada peminat khususnya rakyat Sabah dan Sarawak yang mahu melihat wakil Borneo mencipta sejarah dalam anugerah berkenaan.

Bagaimanapun, kedudukan undian masih boleh berubah memandangkan pengundian bagi kategori itu dibuka sehingga 26 Oktober ini.

Orang ramai khususnya rakyat Sabah dan Sarawak yang mahu memberikan sokongan kepada Adam boleh mengundi menerusi pautan https://activity.tiktok.com/t/ZSb3SfABo/ sebelum pengundian ditutup. – Info X