KOTA MARUDU: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar ke kebunnya di Kampung Tambilidon, Pitas semalam, ditemui selamat, malam ini.
Mangsa Adau Tangas, 83, ditemui oleh penduduk kampung di kawasan kebun getah dengan jarak satu kilometer dari rumahnya, kira-kira jam 7 malam.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini membabitkan kekuatan seramai 22 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk penduduk kampung.
Katanya, pencarian hari ini dibahagikan kepada tiga sektor dan setiap sektor berkeluasan kira-kira empat hektar.
“Pencarian menggunakan kaedah ‘zigzag’ dan radius pencarian mangsa tiga kilometer.
“Ketika operasi SAR sedang dijalankan, mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung di kawasan kebun dengan jarak satu kilometer berdekatan dengan rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan dan keadaan mangsa baik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR tamat sepenuhnya pada jam 7 malam,” katanya.

Terdahulu, Adau dikatakan ke kebunnya di Kampung Tambilidon pada 21 Julai lalu dan tidak pulang sehingga semalam sebelum keluarganya membuat laporan.
Operasi SAR kemudian dilakukan oleh JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan penduduk kampung. – Info X