PENAMPANG: Selepas lebih enam jam disedari hilang, seorang kanak-kanak perempuan autisme ditemui selamat, malam tadi.
Avelyn Alesha Jude, 6, berjaya ditemui kira-kira lima kilometer dari kediamannya di kawasan hutan Kampung Sugud, jam 10.20 malam.
Bapa saudara Avelyn Alesha, Mestan Eden berkata, anak saudaranya ditemui oleh orang kampung yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak petang tadi.
“Adik saya (ibu kepada Avelyn) memberitahu bahawa mereka bersembahyang dan berdoa sebelum mencari Avelyn.
“Mereka turut bunyikan paluan gong ketika mencari Avelyn,” katanya ketika dihubungi Info X.
Menurutnya, mereka sekeluarga amat bersyukur Avelyn dapat ditemui dalam keadaan selamat.
“Syukur usaha mencari dipermudahkan dan kini Avelyn dirawat di HQE I… terima semua yang mendoakan sehingga baby Avelyn ditemui dalam keadaan selamat.
“Terima kasih juga kepada bomba, polis dan orang kampung yang turut serta dalam misi SAR Avelyn,” katanya.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Ishak Amran berkata, pihaknya menerima maklumat mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung.
“Mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari rumah keluarganya di kawasan hutan.
“Mangsa ditemui tiga remaja sebelum memaklumkan kepada pasukan keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke HQE I menaiki kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian petang tadi, Avelyn Alesha disedari hilang kira-kira 4 petang oleh ibunya di rumah mereka di Kampung Sugud.
Usaha mencari kemudian dijalankan oleh ahli keluarganya bersama orang kampung namun mangsa gagal ditemui sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Operasi pencarian membabitkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bersama anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. – Info X