Search

Adrian Lasimbang kembali ke pangkuan UPKO

March 24, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Bekas Ahli Dewan Negara, Adrian Banie Lasimbang menyertai semula Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selepas sekian lama meninggalkan parti itu.

Beliau sebelum ini pernah bersama DAP dan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara atau Senator pada 2018 hingga 2021, sebelum meninggalkan parti itu pada Januari 2022.

Selepas itu, Adrian banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan dan menjadi aktivis sosial serta alam sekitar untuk membantu masyarakat anak negeri dan rakyat di luar bandar.

Hari ini, beliau kembali ke pangkuan UPKO dan menerima kad keahlian baharu parti itu daripada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick dalam satu majlis, di Dongongon, hari ini.

Mengulas kepulangannya ke pangkuan UPKO, Adrian berkata beliau teruja kembali kepada parti itu dan mendapat peluang untuk mencari pengalaman bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Tapi, apa yang penting ialah perjuangan itu haruslah dapat memenuhi keperluan rakyat. Ini peluang bagi UPKO sebagai parti yang mendapat penjenamaan semula yang membawakan kita inovasi dan cara berpolitik zaman baharu.

“Saya sangat percaya di bawah Ewon, UPKO boleh membawa Sabah ke tahap yang lebih baik dan saya bersedia untuk berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata UPKO terbuka untuk menerima kemasukan semula bekas pemimpin parti itu yang pernah meninggalkan parti sebelum ini.

Adrian Banie Lasimbang.

Jelasnya, kemasukan mereka tidak memerlukan pengisian semula borang keahlian parti, sebaliknya diberikan terus kad keahlian berdasarkan rekod mereka ketika bersama UPKO sebelum ini.

Katanya, kemasukan semula Adrian bersama beberapa lagi bekas pemimpin UPKO, termasuk pengasas parti itu diyakini dapat mengukuhkan UPKO untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sabah.

“Bagi Adrian, beliau adalah seorang aktivis alam sekitar dan kemasyarakatan yang turut aktif dalam memperkenalkan inovasi baharu untuk membantu masyarakat.

“Kepakaran dan kemahiran yang dimilikinya boleh membantu saya mendapatkan input berhubung perkara yang berkaitan untuk dibawa ke Kabinet,” katanya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden UPKO, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing yang keluar UPKO pada 2012, menyertai semula parti itu pada bulan lalu.

Turut kembali ke pangkuan UPKO ialah bekas Naib Presidennya, Datuk Dr Marcus Mojigoh yang keluar parti pada 2020 sebelum kembali menerajui UPKO Bahagian Putatan pada November tahun lalu. – Info X