KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, pagi ini.
Sumber memberitahu, Pengerusi Qhazanah itu tiba di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 8.45 pagi selepas dipanggil untuk memberi keterangan.
Beliau turut mendedahkan ada ADUN yang akan didakwa di mahkamah pada penghujung bulan ini.
Terdahulu pada 12 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa di mahkamah berhubung dakwaan rasuah membabitkan ADUN tertentu di Sabah.
Katanya, beberapa individu sudah dikenal pasti dan tindakan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video yang didakwa perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu perlombongan mineral di negeri itu.
Susulan itu, SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk analisis forensik digital terhadap bahan bukti yang tular itu. – Info X