Search

ADUN Warisan nafi terima peruntukan kerajaan

April 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan pada Khamis menafikan dakwaan yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti itu menerima peruntukan kerajaan.

Menerusi satu kenyataan bersama, tujuh ADUN Warisan dari sekitar Kota Kinabalu, berkata mereka memandang serius penyebaran perkara tidak benar itu yang semakin berleluasa.

“Kebelakangan ini, kami memandang serius penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa dan secara terancang menyasarkan ADUN Parti Warisan, khususnya di kawasan bandar.

“Terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kononnya ADUN Warisan turut menerima peruntukan daripada kerajaan.

“Kami dengan tegas menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah fitnah dan pembohongan yang disengajakan. ADUN Parti Warisan tidak menerima sebarang peruntukan seperti yang digembar-gemburkan.

“Penyebaran maklumat palsu ini jelas merupakan satu taktik kotor dan berniat jahat untuk menghasut rakyat, menimbulkan kemarahan terhadap wakil rakyat pembangkang, serta mencemarkan reputasi kami.

“Ia turut disebarkan secara aktif dalam kumpulan penduduk dan platform media sosial termasuk Facebook bagi mempengaruhi persepsi awam,” kata mereka.

Tujuh ADUN Warisan dalam kenyataan bersama itu ialah Azhar Matussin (Darau), Edna Majimbun (Inanam), Tham Yun Fook (Likas), Loi Kok Liang (Api-Api), Samuel Wong (Luyang), Datuk Junz Wong (Tanjung Aru) dan ADUN Kapayan, Chin Tek Ming.

Berikutan itu, mereka memberi amaran keras kepada pihak yang terlibat agar menghentikan segera penyebaran fitnah berkenaan.

“Tindakan menyebarkan berita palsu bukan saja tidak beretika, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“ADUN Warisan akan terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh komitmen, integriti dan tanggungjawab, walaupun tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan.

“Kami tidak akan tunduk kepada politik kotor yang cuba melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kami,” katanya.

Dalam masa sama, katanya mereka juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang terus menyebarkan fitnah dan maklumat palsu terhadap mereka.

Mereka berkata, rakyat perlu lebih bijak menilai maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan propaganda yang berniat jahat. – Info X