Search

ADUN yang telah ‘lompat’ bukan bermaksud kerusinya milik gabungan baru disertai pada PRN nanti – Ewon

February 4, 2024

Info X Reporters

SIPITANG: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick tidak setuju, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang atas tiket parti lain pada pilihan raya lalu tapi telah ‘lompat’ ke parti baharu menjadi penentu supaya kerusi yang disandang menjadi milik gabungan disertainya.

Katanya, pembahagian kerusi antara parti-parti yang bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang haruslah baru dan segar.

Beliau berkata, ini penting bagi mengelak tuntutan kerusi lama dan memastikan pengagihan kerusi diagihkan dengan lebih adil diantara semua parti komponen yang bekerjasama pada PRN akan datang.

“Perbincangan haruslah sesuatu yang segar dan baru apabila kita membincangkan soal kerjasama dalam PRN Sabah akan datang dan juga penentuan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti-parti yang bekerjasama dalam PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ewon berkata, perbincangan pembahagian kerusi itu juga penting kerana gabungan yang sama komponennya sudah jauh berbeza berbanding pada PRN 2020.

“Maka perbincangan pengagihan kerusi kerjasama politik semasa PRN nanti harus merupakan perbincangan baru. Tidak ada yang boleh mengatakan kerusi ini milik mereka hanya kerana Adunnya daripada parti itu yang telah berhijrah kepada parti baru dan satu gabungan parti baru telah diwujudkan selepas pilihan raya.

“Saya juga tidak setuju kemenangan kerusi-kerusi lama yang Adunnya memenangi kerusi itu atas tiket lain dan kini berhijrah kepada parti baru menjadi penentuan supaya kerusi itu harus milik gabungan berkenaan,” katanya. – Info X