TAWAU: Kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam, selepas dipercayai terjatuh ke dalam muara sungai di Kampung Kurnia Jaya, di sini ditemui lemas pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat Adwa Iman Muhammad ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, jam 6.45 pagi.
“Mangsa ditemui oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia pihak berkuasa.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, berikutan penemuan mayat Adwa, operasi SAR kemudian ditamatkan pada jam 7.40 pagi.
Semalam, media melaporkan kanak-kanak terbabit dipercayai sedang bermain di belakang rumahnya di Kampung Kurnia Jaya, di sini sebelum tergelincir ke dalam muara dan dihanyutkan arus deras.
Sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.54 petang. – Info X