KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) memandang serius kenyataan dikeluarkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, AGC berkata kenyataan bekas Ketua Menteri itu dalam ucapannya pada majlis ‘Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan’ pada 20 September 2025 berpotensi menimbulkan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat.
Jelas AGC lagi, kenyataan pemimpin itu juga berpotensi menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Sehubungan itu, jabatan ini sedang meneliti dengan terperinci setiap kandungan kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian tersebut selesai.
“Jabatan ini sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau mengganggu kelancaran prosiding mahkamah yang masih berlangsung,” katanya.
Semalam, peguam Datuk Ram Singh selaku pihak berkepentingan yang mewakili seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Semporna itu berunsur penghinaan terhadap mahkamah.
Selain beliau, pasukan peguam diketuai Azhier Farhan Arisin yang juga pihak berkepentingan mewakili empat lagi saksi kanak-kanak dalam inkues berkenaan menyifatkan kenyataan itu sebagai melulu, berbahaya dan menjijikkan.
Shafie antara lain didakwa menyebut bahawa Allahyarham Zara dibunuh, selain turut mengungkit mengenai inkues di Mahkamah Koroner yang sedang dilaksanakan. – Info X