Search

Ahli sindiket dadah ditahan, rampas 1.9 kilogram syabu

August 18, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki disyaki ahli sindiket pengedaran dadah ditahan bersama 1,917.33 gram dadah jenis syabu bernilai RM120,000 di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, di sini, Rabu lalu.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, pasukan polis menjalankan pemantauan dan mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan yang sedang menggalas beg di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.

Katanya, ketika dihampiri suspek bertindak cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Jasmin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki warga asing di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, Tawau.

“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan di dalam beg yang dibawa suspek menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 1,917.33 gram.

“Dadah syabu yang dirampas dianggarkan bernilai RM120,000,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine.

“Suspek terbabit tidak memiliki rekod kesalahan jenayah lampau dan kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Polis percaya dadah berkenaan dibawa dari luar untuk pasaran tempatan dan dianggarkan jumlah rampasan itu boleh mempengaruhi sehingga 20,000 penagih,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tahun ini IPD Tawau telah merampas sebanyak 26,155.66 gram bahan disyaki dadah jenis syabu.

“Saya menyeru masyarakat sentiasa bekerjasama dengan menyalurkan maklumat dan memantau anak-anak remaja kita agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah,” katanya. – Info X