KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan AirAsia menyasarkan untuk menerbangkan lima juta tetamu ke Sabah melalui Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, berkata sasaran itu hampir dua kali ganda daripada 3.7 juta ketibaan melalui perkhidmatan syarikat itu yang direkodkan pada tahun lalu.
Katanya, sasaran pertumbuhan itu merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai pemacu kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, bagi mencapai matlamat itu, AirAsia melaksanakan rancangan pengembangan bagi tahun ini yang merangkumi peningkatan rangkaian sedia ada yang terdiri daripada 27 laluan, termasuk 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa ke dan dari Sabah.
“Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Pada 2024, katanya AirAsia memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah bagi mencapai sasaran lebih tiga juta pelawat dengan menerbangkan sebahagian besar daripada jumlah itu dan memperkukuh kedudukan sebagai syarikat penerbangan terkemuka yang menyokong kesalinghubungan dan pertumbuhan pelancongan negeri.
Jelasnya, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan ekosistem pelancongan negeri, AirAsia sedang mengadakan siri jelajah di seluruh Sabah untuk mengeratkan kerjasama dan menyelaras usaha bagi menambah baik sektor pelancongan utama seperti penginapan, pengangkutan dan kemudahan akses serta meneroka pelaburan strategik untuk memajukan infrastruktur pelancongan negeri.
“Sabah adalah pasaran penting dalam rangkaian AirAsia dan kami berbangga menjadi syarikat penerbangan terkemuka yang menghubungkan rantau ini ke Malaysia dan pasaran antarabangsa utama.
“Sasaran kami bagi tahun 2025 adalah untuk menerbangkan lima juta tetamu dan komitmen ini disokong oleh pelaburan besar dalam kapasiti operasi untuk meningkatkan penerbangan dan usaha pemasaran bersasar.
“Dengan peningkatan ketibaan pelawat, inisiatif-inisiatif ini berpotensi mewujudkan impak pengganda ekonomi yang besar kepada rantau ini dan perniagaan tempatan, didorong oleh rantaian bekalan yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan pelancong,” katanya.
Beliau berkata pertumbuhan AirAsia di Sabah tidak tercapai tanpa kerjasama yang dibina bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan rakan-rakan industri.
Katanya, bagi mengekalkan momentum itu, AirAsia menggalakkan kerjasama yang lebih erat dan insentif bersama daripada pemain utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, termasuk hotel dan penggiat pelancongan.
“Dengan melabur dalam promosi bersama dan menyokong laluan strategik, kita dapat meningkatkan manfaat ekonomi daripada sektor pelancongan untuk Sabah dan mengekalkan trajektori pertumbuhan berterusan.
“Melengkapkan usaha ini, AirAsia juga akan mambuat pelaburan bersasar dengan menawarkan perkhidmatan Fly-Thru dan memperluaskan laluan utama di pasaran penting seperti Vietnam, India, Indonesia, dan Kazakhstan.
“Inisiatif-inisiatif ini turut diperkukuh dengan kempen berterusan terhadap pelancong dari China, Hong Kong, dan Singapura.
“Bersama-sama rakan kongsi kami, kami berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi global yang berkembang maju, memberi manfaat kepada komuniti setempat dan memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jimit berkata rangkaian luas AirAsia dan pelaburan yang berterusan berjaya memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pintu masuk utama pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kami teruja untuk meneruskan kerjasama ini bagi meningkatkan tawaran negeri ini dan memastikan bahawa semua pihak berkepentingan bersedia untuk memenuhi peningkatan ketibaan pelancong hasil daripada inisiatif-inisiatif AirAsia,” katanya.
Pada 2024, AirAsia dan STB memeterai kerjasama strategik selama lima tahun untuk meningkatkan industri pelancongan negeri ini dengan memperluaskan rangkaian udara di seluruh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan mengembangkan rangkaian ke ASEAN, Asia Utara, dan Oceania dari 2024 hingga 2028. – Info X