Search

AJ Productions syarikat produksi pertama Sabah dapat lesen hiburan awam kanak-kanak

November 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat penerbitan tempatan menjadi syarikat pertama dari Sabah mendapat Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda untuk menjaga kepentingan golongan itu dalam industri hiburan di negeri ini.

Lesen itu dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah kepada AJ Productions Sdn Bhd, sekali gus meletakkan syarikat itu sebagai sebuah syarikat produksi yang bertanggungjawab dalam mengetengahkan bakat muda di negeri ini.

Ketua Pegawai Operasi AJ Productions, Jasnie Mohd Yaakub, berkata inisiatif itu selaras dengan prinsip syarikat yang mahu menyediakan persekitaran kerja selamat, beretika dan menyokong khususnya apabila membabitkan bakat muda.

Katanya, usaha memohon lesen bukan sekadar untuk mematuhi undang-undang tetapi sebagai penegasan bahawa hak kanak-kanak yang terbabit dalam penerbitan dilindungi termasuk aspek masa belajar, kesihatan dan keselamatan.

“Hari ini, AJ Productions mencatat sejarah apabila menjadi syarikat produksi pertama di Sabah yang berjaya memohon dan memperoleh Lesen Hiburan Awam Kanak kanak dan Orang Muda yang dikeluarkan oleh JTK Sabah.

“Langkah ini menunjukkan komitmen syarikat untuk memartabatkan hak dan kebajikan bakat muda yang dalam industri kreatif di Sabah,” katanya, di sini, pada Selasa.

Lesen itu adalah satu keperluan mandatori di bawah subseksyen 73D(1) Ordinan Buruh Sabah, Bab 67 yang mewajibkan mana-mana majikan mendapatkan kebenaran JTK Sabah sebelum mengambil kanak-kanak atau orang muda bekerja dalam sektor hiburan awam.

Melalui lesen itu, JTK Sabah dapat memantau syarat penggajian termasuk masa bekerja, rehat, kehadiran penjaga dan memastikan persekolahan kanak-kanak terbabit tidak terjejas.

Pengiktirafan terhadap usaha proaktif syarikat itu disampaikan pada Program JTK Sabah Bersama Majikan Produksi Industri Seni Sabah dengan kerjasama FINAS Malaysia yang diadakan di Klagan Hotel, di sini, pada 4 Oktober lalu.

Pada majlis itu, JTK Sabah menyerahkan sijil penghargaan kepada AJ Productions melalui Timbalan Pengarah JTK Sabah, Baharuddin Mamat dengan disaksikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JTK Sabah, Ibrahim Baharom.

JTK Sabah dalam program sama menggesa semua syarikat produksi, penganjur acara dan majikan yang mahu mengambil pelakon atau penghibur kanak-kanak serta orang muda supaya tampil memohon lesen itu.

Langkah itu jelas JTK bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang buruh dan perlindungan kebajikan kepada golongan bawah umur.

Jasnie menegaskan langkah syarikatnya adalah sebahagian daripada visi untuk mewujudkan ekosistem industri kreatif Sabah yang profesional, bertanggungjawab dan mampan.

“Kami berharap langkah ini menjadi penanda aras kepada pemain industri lain agar lebih serius terhadap aspek perlindungan pekerja bawah umur demi kemajuan industri seni di Sabah secara menyeluruh,” katanya. – Info X