Search

Aksi lelaki curi duit di kedai runcit dirakam CCTV

March 25, 2025

Info X Reporters

RANAU: Polis giat mengesan seorang lelaki yang mencuri laci kaunter mengandungi wang tunai RM3,000 di sebuah premis di Pekan Kundasang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.50 malam.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mendapati seorang lelaki tidak dikenali memasuki premis dengan berpura-pura membeli barang.

“Ketika pengadu yang juga pemilik premis ke bahagian belakang, suspek bertindak mencuri laci kaunter warna putih yang mengandungi wang sebanyak tunai RM3,000.

“Suspek kemudian melarikan diri melalui pintu hadapan kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki dengan memakai topi, baju T dan seluar panjang hitam, selain menutup mukanya dengan kain warna biru bagi mengelak pengecaman.

Tangkap layar suspek melarikan lari kaunter mengandungi wang tunai RM3,000 di kedai runcit di Pekan Kundasang, Ranau.

“Polis telah mengambil beberapa tindakan segera termasuk merekodkan percakapan pengadu di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah melakukan siasatan forensik di lokasi kejadian.

“Selain itu, cap jari suspek dihantar ke Bahagian D2 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk analisa,” katanya.

Mursalin berkata, operasi bagi mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan oleh pasukan penyiasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222 atau melaporkan ke balai polis berhampiran.

“Polis juga menasihatkan pemilik perniagaan supaya meningkatkan langkah keselamatan premis dengan pemasangan CCTV, sistem penggera serta pengawasan berkala bagi mengelak kejadian seumpama ini daripada berulang,” katanya. – Info X