KOTA KINABALU: Aksi pra musim bersama kelab dari luar dijadikan sandaran Sabah FC untuk membina keserasian dan kombinasi pemain bagi menghadapi musim baharu Liga Super 2026/2027.
Pengurus Sabah FC, Muhd Arziz Afizy Rumsani, berkata Sabah FC beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan dengan kelab luar sebelum melangkah ke perlawanan pertama Liga Super pada 23 Ogos ini, masing-masing dari Brunei dan Indonesia.
Malam tadi berlangsung aksi persahabatan yang pertama di Stadium Likas yang menyaksikan Sabah FC menewaskan kelab dari Brunei, Kasuka FC, 3-0, menerusi jaringan dua pemain import baharunya, Gonzalo Di Renzo dan Park Jungbin.
“Sabah FC sedang membuat persiapan dan kita sudah bersedia untuk menghadapi musim baharu Liga Super dan alhamdulillah hari ini (malam tadi) kita mempunyai perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Brunei, Kasuka FC.
“Seterusnya, kita akan mengadakan perlawanan pra-musim di Bali, Indonesia yang mana pada 13 Ogos ini kita akan bertemu dengan Bali United dan seterusnya perlawanan yang kedua di sana nanti kita akan bertemu dengan Persib Bandung.
“Menerusi perlawanan persahabatan atau pra musim ini kita lebih memfokuskan kepada kombinasi pemain di padang dan ini sangat pentinglah untuk persiapan kita untuk menghadapi Liga Super 2026/2027,” katanya ditemui selepas aksi pra musim malam tadi.
Selain aksi persahabatan dengan kelab luar, Sabah FC sebelum ini turut turun ke Keningau bertemu kelab tempatan Sabah di Kompleks Sukan Keningau.
Sabah FC sebelum ini mengumumkan kemasukan lima pemain import baharu, selain beberapa pemain tempatan bagi memperkukuh pasukan bersama pemain sedia ada yang dikekalkan.
Selain Gonzalo Di Renzo dan Park Jungbin yang masing-masing berasal dari Argentina dan Korea Selatan, tiga lagi import baharu Sang Badak ialah Oskari Kekkonen dari Filipina, Kike Lopez atau Kadete (Sepanyol) dan Juan Flere juga dari Argentina.
Antara pemain sedia ada Sabah FC yang kekal ialah Darren Lok, Dominic Tan, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu, Dane Ingham, Rawilson Batuil dan R Dinesh, manakala pemain baharu tempatan antaranya, Mohd Fayadh Mohd Zulkifli dan Mohd Fazrul Danel Mohd Nizam, kedua-duanya dari Kedah.
Sementara itu, Muhd Arziz Afizy menyifatkan kesebelasan utama Sabah kali ini sebagai pemain yang positif dan mampu melakukan yang terbaik untuk skuad Sang Badak pada musim baharu ini.
Beliau turut menyatakan harapannya terhadap sokongan berterusan penyokong Sabah FC untuk mengembalikan semula kedudukan terbaik pasukan setelah jatuh pada musim lalu.
“Kepada seluruh penyokong Sabah FC, kita mengharapkan sokongan yang padu pada musim 2026/2027 untuk menghadapi Liga Malaysia ini.
“Kita mohon kepada semua penyokong teruslah menyokong kita kerana penyokong adalah kekuatan dan juga semangat pasukan ini untuk berjuang dalam saingan Liga Malaysia tahun ini,” katanya.- Info X