LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot induk bersama tujuh lelaki termasuk enam warga asing dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan pulau berkenaan, semalam.
Bot berkenaan ditahan APMM Kudat menerusi operasi khas ‘Op Vernom’ di posisi 29 batu nautika barat laut Tanjung Kubong.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten (Maritim) Izwanhadi Idros berkata, Op Vernom itu dijalankan bersama Jabatan Perikanan Malaysia Labuan.
Katanya, bot induk berkenaan dikesan oleh bot peronda APMM sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Ketika diperiksa, bot induk dengan nombor pendaftaran tempatan itu dikendalikan seorang tekong warga tempatan bersama enam kru warga asing.
“Semua mereka berusia 25 hingga 61 tahun dan pemeriksaan mendapati dua daripadanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan dokumentasi ke atas bot itu mendapati tekong gagal mengemukakan lesen bot serta lesen perikanan yang sah.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan turut menemui sebuah sampah, 300 kilogram hasil laut basah serta 300 kilogram hasil laut yang dikeringkan.
“Seterusnya pemeriksaan pada hasil tangkapan mendapati organ dalaman ikan telah hancur dipercayai kesan daripada aktiviti pengeboman ikan.
“Penggeledahan yang dilaksanakan turut menemui beberapa peralatan mengebom ikan di atas bot berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, semua kru, bot serta hasil tangkapan ditahan diiring ke Jeti APMM Labuan untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta 600 kilogram hasil tangkapan kering dan basah berjumlah RM22,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002,” katanya. – Info X