KOTA KINABALU: Seorang individu yang melakukan aktiviti paragliding berdepan detik cemas apabila tersangkut di atas sebatang pokok setinggi 30 meter dalam kejadian di Bukit Kokol, Manggatal, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dilaporkan tersangkut pada pokok terbabit selepas gagal mengawal peralatan luncur udara yang digunakan dipercayai akibat angin kencang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh 5 kilometer dari jalan utama melalui jalan hutan untuk sampai ke lokasi mangsa tersangkut.
“Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) juga sudah dikerah ke lokasi kejadian untuk membawa peralatan khas bagi menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, setakat jam 5 petang tadi, mangsa masih belum dapat diselamatkan dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X