Search

Aktiviti pelancongan dipantau, pastikan operasi telus, bawa manfaat untuk rakyat

June 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemantauan dan penguatkuasaan aktiviti pelancongan di Semporna sedang diperkukuhkan bagi memastikan semua aktiviti beroperasi secara telus, mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan secara mampan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar sedia ada dan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.

“Matlamat kita adalah jelas. Sabah kekal terbuka kepada pelaburan berkualiti yang mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Namun, pada masa yang sama, kita mahu memastikan bahawa manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan dapat dinikmati secara adil, inklusif dan mampan oleh rakyat Sabah sendiri.

“Kementerian juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi-agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negeri sambil menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung keperluan memastikan manfaat pertumbuhan industri pelancongan, khususnya di Semporna dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat tempatan.

Jafry berkata, sebagai antara destinasi pelancongan paling terkenal di Malaysia dan rantau ini, Semporna mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan hasil peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa dan domestik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada 2025, Semporna merekodkan seramai 560,077 ketibaan pelancong, manakala bagi tempoh Januari hingga April 2026 sahaja, seramai 157,673 pelancong direkodkan mengunjungi daerah itu.

“Statistik ini membuktikan bahawa Semporna terus menjadi antara pemacu utama industri pelancongan Sabah dan destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Jelasnya, pertumbuhan itu sememangnya disokong oleh pelbagai pihak termasuk pelabur, pengusaha pelancongan, komuniti setempat dan agensi kerajaan.

Sejajar dengan itu, katanya kementerian beliau mengalu-alukan pelaburan yang sah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang kerana memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan daya saing industri pelancongan Sabah, meningkatkan kualiti produk pelancongan serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Namun demikian, kementerian berpandangan bahawa pembangunan industri pelancongan mesti berlaku secara seimbang dan inklusif.

“Pertumbuhan sektor ini tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah ketibaan pelancong atau nilai pelaburan semata-mata, tetapi juga melalui sejauh mana manfaat ekonomi yang dijana dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah, khususnya komuniti tempatan yang menjadi tulang belakang kepada industri pelancongan negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, Jafry berkata pihaknya mengambil serius perkara yang dibangkitkan Perdana Menteri mengenai penglibatan dan pemilikan dalam sektor berkaitan pelancongan termasuk pengangkutan pelancong, penginapan, agensi pelancongan, restoran dan perkhidmatan sokongan yang lain.

“Kementerian percaya? rakyat tempatan perlu diberikan peluang yang lebih besar untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai industri pelancongan, sama ada sebagai usahawan, pemilik perniagaan, penyedia perkhidmatan, pekerja mahir mahupun rakan strategik dalam pembangunan destinasi pelancongan.

“Kerajaan Negeri sememangnya konsisten dalam memastikan rakyat tempatan menjadi penerima manfaat utama daripada setiap aktiviti ekonomi yang berlaku di negeri ini.

“Prinsip ini turut terpakai dalam sektor pelancongan, di mana penglibatan, pemilikan dan penyertaan aktif rakyat Sabah dalam perniagaan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan perlu terus diperkasakan,” katanya.

Beliau menegaskan, pertumbuhan industri pelancongan akan lebih bermakna apabila berjaya menarik pelaburan dan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong, selain turut mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar kepada komuniti tempatan. – Info X