KOTA KINABALU: Ahli perniagaan, Datuk Albert Tei gagal mematuhi syarat kemasukan ke Sabah dengan mengemukakan dokumen untuk hadir ke mahkamah selaku individu yang tersenarai dalam rekod Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif.
Menerusi satu kenyataan, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof, berkata Albert atau nama sebenarnya, Tei Jiann Cheing hanya memaklumkan datang ke Sabah sebagai cubaan untuk masuk ke negeri ini dan bertemu rakan.
Katanya, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam, Albert tidak mengemukakan sebarang dokumen atau surat panggilan mahkamah ketika pemeriksaan sebelum pegawai bertugas mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM).
“Hasil siasatan mendapati bahawa semasa pemeriksaan dokumen di pintu masuk KKIA, nama individu berkenaan didapati tersenarai dalam rekod NAS yang masih aktif.
“Susulan itu, pegawai bertugas di kaunter pemeriksaan pintu masuk menemu bual individu berkenaan dan individu itu memaklumkan bahawa tujuan kedatangannya ke Sabah adalah untuk bertemu rakan dan membuat cubaan masuk tanpa mengemukakan sebarang bukti tujuan kemasukan ke Sabah.
“Berdasarkan semakan lanjut, syarat NAS yang ditetapkan di bawah arahan pihak berkuasa negeri mendapati rekod individu itu masih aktif dan beliau hanya dibenarkan masuk bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah.
“Oleh kerana beliau tidak mengemukakan sebarang dokumen atau surat panggilan mahkamah semasa pemeriksaan, pegawai bertugas mengeluarkan NPM kerana tidak mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat mengikut Peruntukan Undang Undang Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Kenyataan itu menyusul sebagai maklum balas terhadap laporan media dan rakaman video tular membabitkan Albert Tei berkaitan insiden di KKIA, semalam.
Sitti Saleha berkata pihak JIM turut menerima laporan daripada KKIA berhubung kejadian itu dan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti fakta sebenar.
Katanya, berdasarkan rekod Imigresen, individu yang sama pernah dibenarkan masuk pada September lalu selepas mengemukakan dokumen panggilan mahkamah kepada pegawai bertugas di kaunter pemeriksaan pintu masuk.
“Hal ini membuktikan bahawa beliau sedia maklum mengenai prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi berhubung status NAS yang dikenakan ke atas dirinya.
“Sehubungan itu, kenyataan oleh peguam beliau di Mahkamah Kota Kinabalu pada 24 Oktober 2025 yang mendakwa anak guamnya dihalang daripada hadir ke prosiding mahkamah adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“JIM menegaskan bahawa tindakan pegawai pada hari kejadian dibuat berasaskan Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“JIM sentiasa memastikan setiap keputusan dibuat berpandukan undang-undang, dokumen yang berkaitan dan maklumat yang dikemukakan ketika pemeriksaan,” katanya.
Pihaknya juga menasihatkan semua individu yang tertakluk kepada NAS supaya mematuhi syarat kemasukan dan mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk negara.
“JIM akan terus komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara, di samping menegakkan prinsip profesionalisme, integriti dan pematuhan undang-undang dalam setiap urusan perkhidmatan,” katanya. – Info X