KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di Idang Residen, di Luyang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.
Hajiji menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri, terutama sekali di kawasan beliau.

“Sebagai sahabat lama, saya amat bersimpati dan mengingati Allahyarham khususnya ketika beliau dalam keadaan sakit sebelum ini.
“Saya bagi pihak keluarga dan kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham (Bung Moktar).
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya kepada media selepas menziarahi jenazah Allahyarham.
Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles. – Info X