Search

Alto kini pengendali Sabah FC II

July 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas pemain Sabah FC, Alto Linus menggalas tugas berat sebagai Ketua Jurulatih baharu Sabah FC II selepas pasukan itu tewas semua lima perlawanan dan menduduki tangga tercorot Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setakat ini.

Beliau menggantikan Johnny Dominikus ekoran pencapaian buruk Sabah FC II yang menjadi pasukan belasahan bagi mengembalikan kekuatan pasukan dan keyakinan penyokong bola sepak Sabah.

Mengulas tugas yang dipikulnya, Alto berkata Sabah FC II perlu tampil lebih bertenaga, fokus dan mengelak daripada terus menjadi pasukan belasahan selepas ini.

Katanya, Sabah FC II perlu bangkit segera dengan memastikan setiap perlawanan selepas ini melakar keputusan yang positif bagi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga MFL.

“Banyak kerja rumah yang perlu dilakukan untuk memastikan Sabah FC II bangkit segera daripada episod kekalahan dan dibolosi dengan jumlah jaringan yang besar.

“Fokus utama saya kini ialah untuk memperbaiki kelemahan, mengenal pasti punca kelemahan dan meningkatkan kematangan corak permainan ketika berada di padang.

“Sabah FC II mempunyai banyak potensi, cuma mereka perlu bekerja keras untuk terus memperbaiki kesilapan mudah hingga berada di tangga tercorot liga selepas dibolosi jumlah jaringan begitu besar,” katanya, di sini, hari ini.

Katanya, beliau akan berusaha untuk menerapkan corak permainan lebih taktikal dan teratur, bagi memastikan setiap kesilapan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Sabah FC II perlu positif, segera bertindak menukar corak permainan agar setiap perlawanan memperoleh keputusan yang baik berbanding sebelum ini.

“Untuk ke arah itu, semua pemain perlu bekerja keras dan memahami apa objektif pasukan, tidak kira sama ada dalam latihan atau ketika perlawanan sebenar,” katanya.

Sabah FC II dijadual bertemu Kuala Lumpur City dalam saingan Liga MFL yang seterusnya pada 23 Julai ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. – Info X