Search

Amaran angin kencang, ombak besar di perairan Sabah, Labuan

July 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga atau merah untuk aktiviti perkapalan di perairan timur laut Reef North dan Palawan, Filipina.

Perairan di utara Pulau Banggi itu diramal mengalami angin kencang barat melebihi 60 kilometer sejam (msj) dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter yang dijangka berlarutan sehingga Isnin ini.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata kenyataan itu.

MetMalaysia turut memberikan amaran kategori kedua atau jingga untuk aktiviti perkapalan di perairan Reef North, Layang-Layang dan Labuan berikutan angin kencang barat berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter hingga Isnin ini.

Keadaan itu, kata kenyataan berkenaan turut berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Selain itu, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama atau kuning di perairan utara Condore dan Sulu sehingga Isnin ini.

Kawasan berkenaan diramal mengalami angin kencang barat berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Keadaan itu juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Dalam pada itu, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran kategori pertama atau kuning berikutan angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai 3.5 meter bagi kawasan perairan Sabah barat dan Labuan hingga Isnin ini.

Keadaan di kawasan perairan dalam lingkungan 24 batu nautika itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – Info X