Search

Ambil pekerja warga China tanpa permit, pengurus restoran ditahan

February 7, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Seorang wanita warga tempatan ditahan selepas dipercayai menggaji sembilan pekerja warga China tanpa permit kerja sah dalam serbuan polis di sebuah premis restoran di bandar ini, pada 5 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

Menurutnya, ketika serbuan, wanita berkenaan didapati bekerja sebagai pengurus, manakala tujuh lelaki dan dua wanita warga asing bertugas sebagai pelayan serta tukang masak.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua pekerja warga asing berusia antara 18 hingga 53 tahun itu tidak memiliki permit kerja sah dan dipercayai bekerja di premis berkenaan sejak Julai 2025.

“Polis menahan semua individu terbabit dan merampas beberapa dokumen bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Permohonan reman terhadap semua tangkapan dibuat di Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan Labuan pada 6 Februari dan dibenarkan sehingga 9 Februari ini.

“Siasatan masih diteruskan dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada pihak polis,” katanya. – Info X