Search

Ambil serius isu harga tiket penerbangan mahal – Shafie

April 17, 2023

admin

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal meminta kementerian serta pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil serius isu tiket penerbangan mahal agar kos yang ditanggung oleh pengguna dari Sabah dan Sarawak lebih adil.

Katanya, rakyat juga sudah pasti perlukan budi bicara serta campur tangan pihak kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan dengan harapan harga tiket penerbangan ketika musim perayaan ini lebih munasabah.

“Isu berkenaan harga tiket kapal terbang yang sangat mahal untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke bandar-bandar di Sabah, seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan juga Labuan bukanlah isu baru.

“Sudah bertahun perkara dan situasi seperti ini berlaku, khususnya apabila tiba saja musim perayaan.

“Kita sedar dan tahu, kos operasi dan pengendalian kapal terbang ini tidak murah, dengan kos bahan api yang sentiasa meningkat serta ketidaktentuan pasaran ekonomi dunia.

“Bagaimanapun, sudah pasti apa yang rakyat dan juga pengguna perlukan adalah budi bicara serta campur tangan kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan, dengan harapan harga tiket penerbangan ketika musim perayaan ini lebih munasabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, harga tiket kapal terbang untuk penerbangan domestik di Sabah juga meningkat berkali ganda.

Katanya, orang Sabah hanya mempunyai dua pilihan perjalanan iaitu sama ada menggunakan perkhidmatan udara ataupun jalan raya.

“Umum kita tahu bagaimana keadaan jalan raya di Sabah pada ketika ini, yang banyak mengalami kerosakan, malah ada juga di sesetengah kawasan itu keadaan jalan raya yang berbahaya untuk dilalui.

“Keadaan ini secara tidak langsung akan menambah lagi masa perjalanan yang diambil, dari 8 jam untuk perjalanan biasa kepada 10 ataupun 12 jam untuk sampai ke destinasi,” katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian dan juga agensi serta pengendali perkhidmatan udara perlu mempertimbangkan untuk menambah kekerapan jumlah penerbangan di antara bandar di dalam negeri ini khususnya.

“Sebagai contoh, jika pada waktu ini hanya ada dua kali penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau, mungkin ia dapat ditambah kepada tiga atau empat kali atau mungkin lebih lagi.

“Antara lain, jika dapat dilaksanakan, ia akan mengurangkan keadaan di mana pengguna terlepas masa transit antara bandar yang agak terbatas,” katanya. – Info X