Search

Amir Matamin anak Sabah pertama dilantik Ketua Pengarah LPP

June 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mengalu-alukan pelantikan anak kelahiran Sabah, Amir Matamin sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baharu.

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, Amir adalah anak Sabah pertama yang dilantik ke jawatan tertinggi LPP itu.

“Saya mengenali beliau sejak 1993 ketika LPP ditubuh di Sabah dengan Pengarah pertamanya, Mohd Safian Mohd Hussin.

“Masa itu beliau telah menunjukkan sikap sebagai seorang pegawai muda yang mempunyai kepimpinan yang baik, sangat menghormati semua orang, rendah diri, suka bergaul dan suka menolong.

“Beliau juga sentiasa tidak lokek berkongsi tentang peranan LPP sebagai agensi kerajaan yang mendaftar, membuat pengawasan dan pengawalan semua perjalanan Pertubuhan Peladang di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan (PP).

“Beliau adalah satu-satunya Ketua Pengarah LPP yang tidak pernah menjadi Pengarah LPP di mana-mana negeri di Malaysia. Ini mencerminkan ketokohan dan kepimpinan beliau yang baik sehingga boleh mencapai ke jawatan Ketua Pengarah”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amir bersama Mohd Nazri pada program PPN Sabah, tahun lalu.

Beliau mengulas pelantikan Amir sebagai KP LPP yang baharu menggantikan Datuk Azulita Salim yang bersara.

Mohd Nazri yakin, Amir boleh membantu Kerajaan Perpaduan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan misi membantu rakyat ke arah meningkatkan pendapatan dalam sektor makanan serta menjadikan Malaysia lebih cemerlang ke arah berpendapatan tinggi.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas pelantikan Ketua Pengarah LPP Malaysia yang baharu.

“Dengan pelantikan Pegawai Tinggi mewakili Borneo dalam pergerakan Pertubuhan Peladang ini, diharapkan dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan lagi taraf sosio ekonomi masyarakat di Malaysia Timur dan negara ke paras yang lebih baik terutamanya nasyarakat peladang.

“Saya juga yakin beliau dapat membantu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu menjayakan misinya untuk mengubah nasib semua pihak yang berkepentingan dalam industri pertanian dan membangunkan masyarakat peladang, penternak dan nelayan dalam semua bidang yang diceburi.

“Kami anggota peladang dan rakyat di Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di atas kepercayaan kerajaan melantik seorang lagi anak Sabah dari diberikan peranan mengetuai sebuah agensi yang menyelia Pertubuhan Peladang Kebangsaan, 14 PPN, 280 PPK dan 7,697 Unit Peladang yang pemegang sahamnya hampir sejuta orang di negara ini,” katanya.

Mohd Nazri juga percaya Amir akan dapat mengembalikan semangat satu pasukan antara LPP agensi dimiliki oleh kerajaan dan PP yang dimiliki oleh ahli-ahli individu yang mempunyai saham dalam PP seperti beliau lakukan sejak dahulu di Sabah.

Katanya, Amir bermula sebagai Pegawai Ehwal Ekonomi hingga menjawat Timbalan Pengarah LPP Negeri Sabah, jawatan akhir yang disandangnya sebelum berpindah tugas di Kuala Lumpur.

“Semua ahli peladang PPK di Sabah sangat menghormati dan menyayangi beliau, kerana Amir adalah seorang pegawai yang sangat baik dengan ahli-ahli peladang di Sabah.

“Beliau tidak pernah bersikap meninggi diri dengan menunjukkan kuasanya kepada ahli peladang, sebaliknya beliau sentiasa mendekati mereka untuk berbincang dan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan setiap masalah yang berlaku.

“Beliau selalu berhemah dalam menjalankan peranan dan fungsinya walaupun sudah menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP Malaysia, beliau tetap Amir Matamin yang kita kenal 31 tahun yang lalu iaitu dari tahun 1993 hingga 2024.

“Sikap beliau langsung tidak pernah berubah, dari segi gaya, penampilan, pergaulan dan juga kepimpinannya yang tidak lokek ilmu dan kuat bekerja.

“Bagi pihak ahli peladang di Sabah, Sarawak dan Labuan (Borneo) kami sentiasa mendokan kejayaan Amir dalam menggalas tugas baharu dan kami berdoa ke hadrat Allah SWT supaya sentiasa pelihara insan yang kami amat hormati dan sayangi ini.

“Sukacita kami ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Amir di atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah LPP ke-14. Semoga dengan pelantikan ini akan memberi pembaharuan yang baik dan cemerlang kepada Pergerakan Pertubuhan Peladang seluruh negara. Selamat bertugas,” katanya. – Info X