Search

Anak buaya ‘intai’ dari bawah rumah

July 13, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Penduduk di Kampung Sim Sim, di sini gempar apabila seekor anak buaya ditemui di bawah salah sebuah rumah penduduk, petang tadi.

Bimbang keselamatan diancam buaya seberat 15 kilogram itu, penduduk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menangkap reptilia berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapten (PA) Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum tujuh anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan ambulans.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 7.12 malam dan berjaya menangkap buaya berkenaan yang dianggarkan seberat 15 kilogram dalam tempoh 25 minit.

“Operasi tangkapan dilakukan menggunakan peralatan khas. Mata buaya ditutup menggunakan selimut dan seluruh badannya diikat dengan tali sebagai langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota APM Sandakan berjaya menangkap buaya di Kampung Sim-Sim, Sandakan. – Pix/APM

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.19 malam.

“Buaya berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kehadiran haiwan liar kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X